PENDAHULUAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Dengan izin Allah, setelah menempuh pelbagai halangan dan cabaran, pada 15 Mac 2009 bersamaan dengan 18 Rabiulawal 1430 Hijrah, kita telah berjaya merasmikan Rumah Anak-Anak Yatim/Miskin Taman Baiduri. Dengan serba kekurangan diperingkat awal terutama sekali yang melibatkan kewangan yang perlu digunakan bagi menampung kos baik pulih dan meluaskan kawasan hadapan dan belakang supaya selesa diduduki oleh anak-anak yang akan menumpang teduh dan kasih sayang disini kelak. Dengan berkat istiqamah, kami telah mengumpul pelbagai kelengkapan rumah bagi memastikan segala-galanya telah lengkap sebelum kedatangan anak-anak ini.
SEJARAH PENUBUHAN
17 September 2008 – Bersamaan dengan 17 Ramadhan 1429 Hijrah 2008, pertemuan kali pertama dengan pemilik rumah No11 A, Jalan 2,Taman Baiduri Dengkil memulakan lipatan sejarah Rumah Anak Yatim Taman Baiduri Dengkil.
25 Disember 2008 – Mesyuarat gerak kerja pertama bersama pemilik rumah dan jawatan kuasa kerja bagi membuka ruang dan idea bagi membina konsep terbaik bagi mencari dana dan sumbangan bagi proses baik pulih dan ubah suai “rumah kita”.
28 Disember 2008 – Kes lapangan pertama “rumah kita” di Bukit Mewah Kajang melalui laporan dari Jabatan Kerja Sosial HUKM mempertemukan kami dengan 3 keluarga miskin dan anak yatim. Dari pertemuaan kami pada malam itu, menguatkan lagi iltizam kami untuk menyegerakan pembukaan rumah ini.
1 Januari 2009 – E-mail pertama mula disebarkan pada sahabat dan saudara terdekat bagi memohon bantuan bagi mengisi keperluan berbentuk keperluan asas. Dengan harapan untuk membantu anak yatim/miskin yang kehilangan kasih sayang dan perhatian e-mail tersebut terus tersebar dan bantuan terus datang dari segenap sudut dengan izin Allah.
24 Januari 2009 – Proses baik pulih dan ubah suai bermula.
14 Febuari 2009 – “Painting day” bersama-sama rakan-rakan penyumbang dan sukarelawan. Hari mengecat dan memasang perabot adalah hari pertama mempertemukan kami dengan rakan-rakan penyumbang yang telah banyak membantu.
15 Mac 2009 – Majis Perasmiaan, Majlis Berkhatan dan ramah mesra di Taman Baiduri. Bersama dengan 7 orang anak-anak ini kami membina sejarah”rumah kita” dengan penuh impian dan harapan.
1 Mei 2009 – Sistem tahfiz integrasi (hafazan Al Quran dan hadith dalam sistem akedamik mula diperkenalkan buat kali pertama.
1 Jun 2009 – Rumah No 15 bersebelahan dengan rumah asal mula disewa bagi menampung jumlah anak-anak dan menambah keselesaan kepada anak-anak. Rumah yang baru disewa ini akan menempatkan bilik pengajian, bilik komputer, ruang rehat dan stor simpanan makanan.
“Disini Hati Kita Bersatu”
Melahirkan generasi Salahuddin, menjadikan Al Quran dan As Sunnah sebagai panduan hidup yang membawa kepada lahirnya ganerasi Islam yang cemerlang di dunia dan akhirat.
· Menyediakan landasan bagi melahirkan generasi celik Al Quran dan ganerasi celik Iman
· Membudayakan Ilmu dengan menanam sifat membaca dan mentafsir dan mengkaji ilmu-ilmu agama dan Al Quran
· Memperkasakan minda Iman dan Ihsan didalam diri anak-anak bagi memastikan keteguhan Iman dan pegangan Agama.
· Melahirkan ganerasi The Walking Al Quran dan Profesional Ustaz bagi menjadikan anak-anak ini berjaya disegenap bidang dan lapangan kerjaya kelak.
KONSEP DAN DASAR PENDIDIKAN
RAYM Taman Baiduri menumpukan konsep Dakwah dan Tarbiyah dalam sistem pendidikan yang berteraskan Iman dan Amal. Dalam masa yang sama, pihak pengurusan juga amat menitik beratkan pendidikan akedemik anak-anak disini. Sistem Tahfiz Integrasi yang dimulakan pada Mei 2009 yang lalu, memberi banyak impak positif kepada pelajar-pelajar ini. Kelas-kelas tambahan yang dikendalikan oleh sukarelawan-sukarelawan kami juga telah banyak member i manfaat kepada anak-anak ini. Berikut di senaraikan kelas pengajian yang diadakan di RAYM Taman Baiduri.
· Hafazan Al Quran dan Hadith
· Pengajian Feqah dan Fardu Ain
· Bahasa Arab komunikasi/Bahasa Al Quran
· Intensif Bahasa Inggeris
· Intensif Matematik (KUMON)
· Tutorial matapelajaran teras
Anak-anak yang bersekolah di sekolah rendah akan ditempatkan di antara tiga buah sekolah yang terdekat antaranya
· Sekolah Kebangsaan Dengkil, Selangor
· Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, Selangor
· Sekolah Kebangsaan Cyeberjaya.
Manakala bagi pelajar sekolah menengah, mereka aka ditempatkan di dua buah sekolah, antaranya
· Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Selangor
· Sekolah Menengah Kebangsaan Cyberjaya.
Kompleks RAYM Taman Baiduri merupakan dua buah rumah teres dua tingkat yang menempatkan ruang asrama, ruang memasak, surau dan perpustakaan, bilik kuliah, bilik komputer dan ruang rehat. Sebuah Van Toyota Hiace yang dibeli hasil dari sumbangan orang ramai digunakan untuk menghantar pelajar ke sekolah, Solat Jumaat dan menghadiri program luar.
Sehingga kini, RAYM Taman Baiduri telah menempatkan 19 orang pelajar diantara umur 8 hingga 15 tahun. Untuk tahun 2010, pihak pengurusan telah bercadang untuk menambah jumlah penghuni kepada 20 orang kesemuanya.
Alhamdulillah, dengan membawa harapan dan impian, dengan memikul tanggung jawab dan amanah yang cukup berat kami memohon keredhaan Allah dan memohon kekuatan dari-Nya untuk terus memberi khidmat kepada anak-anak kita ini. Sebagai manusia kerdil yang serba lemah, kami berharap agar ada insan diluar sana yang dapat bersama-sama dengan kami dalam menempuh ujian dan cabaran sepanjang mendidik anak-anak kita ini, Ameen.